PONTIAN – Pengaruh Perikatan Nasional (PN) semakin lemah berikutan gagal mencapai sebarang kemenangan dalam empat siri pilihan raya kecil (PRK) di Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemenangan itu menunjukkan Barisan Nasional (BN) berjaya menangkis segala hujah dan serangan daripada PN, sekali gus membuktikan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membuahkan hasil.
“Empat siri PRK ini berturutan dan berbeza negeri, semuanya BN lawan PN. Kesemuanya berpihak kepada BN dengan calon ditampilkan daripada UMNO
“Apabila pengaruh PN pada PRK lemah, kita (BN) jangka mereka akan menjadi lebih agresif. Justeru, kita perlu lebih berhati-hati dalam menghadapi sebarang tindakan mereka selepas ini,” katanya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad di sini pada pagi ini.
BN berjaya membuktikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai kubu kuat apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dalam PRK kawasan itu pada Sabtu.
Dalam pertembungan tiga penjuru, Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah selaku wakil parti Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 5,006 undi apabila memperoleh 11,065 undi berbanding PN (6,059 undi) dan Parti Sosialis Malaysia atau PSM (1,106 undi).
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan, empat kemenangan berturut-turut dalam PRK juga membuktikan BN masih menjadi pilihan rakyat.
“PRK Nenggiri di Kelantan, PRK Pelangai di Pahang, PKR Mahkota di Johor manakala PRK Ayer Kuning di Perak.
“Bukan satu, tetapi empat kejadian berturutan. Ia juga membuktikan BN tetap pilihan rakyat di empat negeri ini termasuk di negeri pembangkang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE