JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan sedang menahan seorang lelaki dipercayai bekas suami kepada pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya akan mengeluar kenyataan media berhubung penahanan individu tersebut dalam waktu terdekat.
“Polis mengesahkan tahanan bekas suami ‘influencer’ Kim Seri untuk siasatan. Kenyataan media akan menyusul,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial seorang individu mendakwa sebagai bekas kakak ipar pempengaruh itu memaklumkan adik lelakinya kini sedang dalam tahanan polis Johor dan berdepan 47 kes dipercayai berkaitan dengan pempengaruh tersebut yang kini berada di Korea Selatan.
Pada 19 Disember lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata polis telah menerima 24 laporan berkait pempengaruh Kim Seri dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan setakat ini.
Menurut beliau, kerugian mangsa terlibat dipercayai mencecah RM454,450, sehubungan itu pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE