JOHOR BAHRU – Polis Johor telah membuka lapan kertas siasatan terhadap bekas suami kepada pempengaruh dikenali sebagai Kim Seri atas dakwaan menerima bayaran mangsa yang terpedaya tawaran pelancongan ke Korea Selatan.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada 21 April lalu dan masih dalam tahanan untuk siasatan lanjut.
“Suspek merupakan pemilik akaun kepada syarikat Cikgu Kimchi Trading yang telah digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa-mangsa.
“Lapan kertas siasatan telah dibuka melibatkan pengadu dari Johor Bahru, Iskandar Puteri, Bandar Seri Alam, Kota Tinggi, Muar serta Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, kertas siasatan yang telah dilengkapkan akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dan siasatan sama turut dijalankan polis kontinjen negeri lain.-KOSMO! ONLINE