PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menafikan dakwaan pegawainya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terlibat dengan rasuah RM40,000.
Individu yang ditahan SPRM tersebut ialah seorang pegawai kemajuan masyarakat sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sandakan, Sabah.
Kemas dalam satu kenyataan berkata, hasil semakan dengan Pejabat Kemas Negeri Sabah, laporan bertajuk ‘Pegawai KEMAS ditahan SPRM dipercayai terima rasuah RM40,000’ adalah tidak tepat.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada pegawai Kemas yang ditahan atau terlibat dalam siasatan SPRM berkaitan kes yang dimaksudkan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Kemas sentiasa menjunjung tinggi amalan tatakelola yang baik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan yang tidak berintegriti. – KOSMO! ONLINE