fbpx

Ratusan bangunan runtuh, puluhan mangsa cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA penduduk berdiri di luar sebuah bangunan selepas gempa bumi menggegarkan bandar Esmeraldas di Ecuador semalam. – AFP

QUITO – Gempa bumi kuat dan cetek bermagnitud 6.3 mencederakan lebih 30 orang, merosakkan lebih 800 bangunan dan menyebabkan bekalan elektrik di bandar pelabuhan Ecuador, Esmeraldas terputus semalam.

Perkhidmatan kecemasan Ecuador melaporkan, seramai  32 orang cedera, 179 rumah musnah dan 716 rumah lain rosak dalam bencana itu yang dirasai hingga ke ibu kota, Quito.

Nelayan tempatan, Andres Mafare, 36, berkata, dia sedang berjalan ke pelabuhan apabila mendengar bunyi retak diikuti gegaran kuat gempa bumi.

Dia bergegas pulang ke rumah untuk cuba mencari isteri dan dua anak lelakinya. 

“Saya berlari seperti orang gila, dan apabila saya tiba,  saya lihat rumah saya telah musnah,” katanya kepada AFP.

Seorang wartawan AFP di Esmeraldas menyaksikan dinding runtuh, timbunan serpihan dan beberapa bangunan retak.

Orang ramai berdiri di sekeliling untuk meninjau kerosakan.

“Gempa ini sangat kuat,” kata bekas calon presiden, Yaku Perez kepada AFP di tempat kejadian.

Pihak berkuasa berkata,  empat pusat kesihatan dan 18 sekolah rosak, manakala bahagian hadapan bangunan tentera runtuh. Dua jalan raya dan sebuah jambatan turut rosak.

Menurut anggaran rasmi, kira-kira 80 peratus rumah di rantau itu mengalami gangguan bekalan elektrik atau telefon.

Pusat Kajian Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS)  berkata, gempa itu berlaku di luar pantai pada kedalaman kira-kira 35 kilometer sejurus sebelum pukul 7 pagi (waktu tempatan). 

Pihak berkuasa Ecuador berkata tiada risiko tsunami daripada gempa itu. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI