KUALA LUMPUR – Kedua-dua pasukan, Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) diharap dapat mempamerkan semangat kesukanan tinggi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Sri Pahang, yang terakhir kali menjulang Piala Malaysia pada tahun 2014, bertekad untuk mengulangi sejarah manis itu, manakala JDT memburu sejarah sebagai pasukan pertama memenangi hatrik quadruple selepas menjuarai Liga Super dan Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.
Sejak awal petang, suasana sekitar stadium sudah bertukar meriah apabila ribuan penyokong kedua-dua pasukan mula membanjiri kawasan sekeliling, lengkap dengan jersi, bendera serta iringan paluan gendang yang membangkitkan semangat perlawanan.
Penyokong Sri Pahang, Aniq Shafiq mengakui suasana di perkarangan stadium sangat meriah dan mengharapkan ada sinar untuk Tok Gajah, yang terakhir kali menjulang trofi malam ini.
“Harapan saya untuk Pahang menang sebab kita dah lama tidak menang dan bukan senang untuk masuk ke final. Ujar Aniq.
Sementara itu, penyokong JDT Aiman Ross optimis pasukannya mampu mengatasi Sri Pahang.
“Munking JDT pegang perlawanan. Tapi 90 minit apa sahaja akan terjadi dan saya jangka JDT menang 3-2
Kedua-dua pasukan dijangka menurunkan barisan terbaik masing-masing dalam perlawanan yang dijangka penuh intensiti, dengan sorakan gemuruh penyokong menjadi nadi utama membakar semangat para pemain di atas padang. – KOSMO! ONLINE