JAKARTA – Seorang pelajar perempuan membuat laporan polis terhadap ketua yayasan sebuah sekolah pondok bergelar ustaz selepas dia menonton drama bersiri Bidaah, lapor portal berita espos.id kelmarin.
Kejadian berlaku di Gunung Sari, Lombok Barat, Indonesia, baru-baru ini.
Pelajar berkenaan menuduh ketua yayasan itu melakukan pencabulan dan persetubuhan haram terhadap pelajar perempuan.
Suspek yang dikenali sebagai AF kemudian ditahan di lokap ibu pejabat polis Mataram susulan aduan tersebut.
“Dia menjadi suspek perbuatan pencabulan dan persetubuhan terhadap pelajar perempuan,” kata Ketua Polis Mataram, Deputi Komisioner Polis, Regi Halili.
Drama bersiri Bidaah popular di Indonesia kerana menceritakan tentang kehidupan peribadi pengamal ajaran sesat, Walid lakonan Faizal Hussein di sebuah perkampungan.
Regi berkata, suspek dalam kes itu memberikan kerjasama dan telah mengaku perbuatannya.
“Persetubuhan (haram) mangsanya ialah lima orang, pencabulan sebenarnya ada empat orang,” ujarnya sambil menambah, jumlah pelajar yang terlibat dalam kes tersebut semakin meningkat. – AGENSI