PETALING JAYA – Pegawai Khas kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat satu laporan polis terhadap laman Facebook milik sebuah parti politik semalam.
Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak dan lebih mesra dengan panggilan Peja berkata, laporan polis itu dibuat kerana fitnah yang dilontarkan terhadapnya membabitkan kelulusan ladang babi di Perak.
“Hantaran dengan jelas merujuk kepada saya dengan memaparkan gambar saya dan menulis rujukan secara khusus kepada saya bekas Menteri Besar Perak Perikatan Nasional (PN)
“Hantaran ini adalah satu fitnah berniat jahat yang sengaja dilakukan untuk menjatuhkan imej dan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Ahmad Faizal berkata, laporan polis itu bagi meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap pihak yang telah melakukan dan menyebarkan fitnah jahat.
Kata beliau, fitnah itu merosakkan imej dan reputasi peribadi beliau secara khusus dan kepada PN secara am. – KOSMO! ONLINE