JIKA disebut nama Sharnaaz Ahmad sudah terbayang karakter lelaki yang kasar, bengis, garang, lantang bersuara dan deretan kontroversi peribadi.
Bahasa mudahnya, seperti mana watak-watak gelapnya dalam kebanyakan naskhah lakonan, begitu jugalah tanggapan kebanyakan orang terhadap lelaki berusia 40 tahun itu.
“Badi saya adalah orang sangka Sharnaaz seorang yang garang. Tetapi hakikatnya saya tidak begitu, tanyalah sesiapa yang pernah bekerja dengan saya, saya seorang pelawak di set penggambaran.
“Cuma orang yang tidak kenal dekat dengan saya akan kata saya garang. Mungkin sumpahan untuk saya, daripada wajah dan cara saya bercakap orang terus ‘cop’ saya garang,” kata Sharnaaz bersungguh-sungguh.
Mungkin kerana itu, Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Datuk Basir Ahmad, melekat dengan watak-watak antagonis dan gelap seperti menerusi filem Juvana, Gila Baby, Polis Evo 3 dan terbaharu, Blood Brothers: Bara Naga.
Dalam Blood Brothers yang kini sudah mencatat kutipan RM50 juta dalam tempoh 14 hari tayangan, Sharnaaz cukup cemerlang sebagai Ghaz, seorang ketua pasukan pengawal peribadi elit yang menyediakan perlindungan kepada orang berpengaruh dan ketua penjenayah.
“Alhamdulillah filem Blood Brothers mendapat sambutan. Sebenarnya apabila orang memuji, itu pun satu bentuk ujian, adakah mahu meninggi diri dan berlagak atau menjadi seperti padi semakin berisi semakin menunduk.
“Jika bercakap tentang watak antagonis atau penjahat, saya daripada muda suka bawa watak sebegitu kerana orang jahat ini ada pelbagai peringkat.

“Dalam jahat ada baiknya,” ujar Sharnaaz yang menyantuni temu bual bersama HibGlam.
Berbicara mengenai sambutan luar biasa terhadap filem Blood Brothers, Sharnaaz menegaskan kejayaan tidak hadir dengan usahanya seorang, sebaliknya hasil kerjasama semua yang terlibat.
“Sejujurnya semasa berlakon filem ini saya langsung tidak tertekan kerana saya tahu barisan pelakon yang dipilih memang boleh beri lakonan terbaik, semua pelakon yang bagus.
“Cedera pun tidak kisah, penggambaran tetap terus berjalan. Tetapi sesebuah filem akan berjaya hasil komitmen semua pihak, termasuk produksi, pemasaran, suntingan, pengarahan bukan semata-mata ada pelakon yang bagus dan popular sahaja,” luah Sharnaaz.
Ditebak dengan populariti yang semakin mandadak, adakah dia akan semakin ‘demand’ daripada segi harga dan karya?
Tanpa berfikir panjang, Sharnaaz menjelaskan, bekerja sebagai anak seni tidak mampu membuatnya menjadi jutawan atau kaya raya.
“Saya sedar saya masuk industri seni saya tidak boleh jadi kaya, hidup selesa itu ya, tetapi kaya tidak. Kalau mahu kaya perlu berniaga.
“Jadi, saya meletak harga mengikut harga pasaran dan setakat ini harga yang ditawarkan setimpal dengan komitmen saya,” jelas Sharnaaz.
Muka ‘pecah rumah’
Masih menjadi pelakon pilihan dan hero pada usia 40 tahun, Sharnaaz mengucapkan rasa syukur. Duda anak satu cukup sedar, penonton kini memiliki banyak pilihan.
Bersandarkan kenyataan tersebut, setiap kali menerima tawaran lakonan, dia akan memberi yang terbaik supaya kepercayaan yang diberi tidak disia-siakan.
“Saya tetap perlu tingkatkan mutu lakonan kerana pada usia 40 tahun saya tidak lagi menjadi pilihan utama penonton.
“Sudah tentu pelakon generasi muda yang lebih tampan menjadi pilihan mereka berbanding saya muka ‘pecah rumah’ dan garang.
“Cuma pada masa sekarang saya sudah terlampau tua untuk berlakon drama, semua watak telah saya lakonkan.
“Jika untuk siri original saya akan pertimbangkan tetapi mungkin pegang watak bapa atau abang,” ujarnya.
Meniti perjalanan kerjaya seninya selama 16 tahun, Sharnaaz sudah menghadam sepak terajang dunia seni.

Banyak ilmu yang dipelajarinya, tetapi paling penting dia mahu kekal menjadi diri sendiri walaupun ada yang tidak senang dengan karakternya.
“Saya tahu ada orang suka dan ada yang tidak suka. Contoh hari ini semua sokong saya, tetapi hanya satu kesalahan dan saya masuk lokap, 10 kebaikan yang dibuat dahulu terus tidak dipedulikan.
“Orang hanya akan bercakap tentang kejahatan dan kesalahan saya itu berulang kali.
“Cuma saya belajar untuk tidak mempedulikan semua kata-kata negatif kerana sudah lalui macam-macam.
“Setakat kecaman dan tohmahan netizen, itu hanyalah perkara picisan buat saya.
“Bak kata orang tak mati dek keji tak hidup dek puji,” luahnya.
Lantang
Selain sinonim dengan bengisnya, Sharnaaz juga seorang anak seni yang cukup lantang bersuara bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi pelbagai isu.
Meski sedar kelantangannya tidak disenangi sesetengah pihak, Sharnaaz percaya, adakalanya dia perlu menjadi ‘kambing hitam’ bagi mewakili sesebuah isu.
“Saya mengaku saya lantang (ketawa). Sesetengah isu saya terlebih sudu daripada kuah kalau komen. Jika difikirkan, saya hanyalah manusia biasa yang pasti akan buat silap, saya bukan malaikat.
“Orang lihat saya lantang dan suka cari masalah, tetapi saya adalah orang yang akan menyuarakan pendapat jika saya rasa betul atau tidak betul.
“Terpulang pada penerimaan masing-masing mahu positif atau tidak,” katanya lagi.
Menyentuh tentang wanita, Sharnaaz yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon Amelia Christie kini dikatakan rapat dengan aktres Amelia Henderson, yang menjadi suri hatinya dalam Blood Brothers.
Semuanya gara-gara gurauan Sharnaaz yang meluahkan rasa sayang secara spontan kepada Amelia ketika menjadi tetamu podcast Studio Sembang.
“Tidak ada apapun kami hanya kenal baru-baru ini ketika berlakon filem Blood Brothers. Cuma saya agak rapat dengannya sebab sikap kami yang berlawanan.
“Amelia wanita yang bijak kalau bercakap semua menggunakan fakta, sementara saya menggunakan emosi. Jadi, selalu bergaduh di set penggambaran tetapi itu menyebabkan kami rapat.
“Hendak kata kawan atau lebih saya tidak tahu dan tidak menolak jodoh dengan sesiapa pun.
“Doa sahajalah yang baik-baik untuk saya,” ujar Sharnaaz sambil ketawa panjang.