KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mendapat pengiktirafan cukup besar apabila dilantik sebagai salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025-2029.
Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu merupakan salah seorang daripada 20 Ahli Majlis baharu yang dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF di Xiamen, China hari ini.
BAM menerusi satu hantaran dimuat naik pada laman Facebook rasmi merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas pelantikan Mohamad Norza yang dianggap cukup berjasa dengan perkembangan sukan tanah air.
“Persatuan Badminton Malaysia mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas pemilihan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025-2029.
“Pemilihan Tan Sri Norza merupakan satu tanda penghargaan daripada komuniti badminton global atas kepimpinan, visi serta komitmen beliau terhadap perkembangan sukan di Malaysia dan antarabangsa,” kata BAM.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Thailand (BAT), Khunying Patama Leeswadtrakul dipilih sebagai Presiden BWF yang baharu menggantikan Poul-Erik Hoyer Larsen selepas menang tanpa bertanding.
Pada masa sama, bagi menghargai jasa Hoyer Larsen yang memimpin badan induk itu sejak 2013, BWF menganugerahkan legenda badminton Denmark berkenaan dengan jawatan Naib Presiden Kehormat Seumur Hidup. – KOSMO! ONLINE