SEREMBAN – Seorang lelaki warga Nigeria ditahan selepas cuba melarikan diri dan mengeluarkan pisau ketika diserbu pihak berkuasa dalam operasi di sebuah restoran di Desa Palma Nilai di sini, malam semalam.
Selepas ditahan dalam operasi bermula pukul 8.30 malam itu, lelaki berusia 20-an terbabit memberi alasan hanya mahu memetik serai di kawasan kediaman rakannya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, siasatan lanjut ke atas lelaki asing dari Nilai Spring itu mendapati dia tiada dokumen perjalanan serta motif suspek membawa senjata.
“Lelaki terbabit antara 260 orang diperiksa dalam operasi kali ini melibatkan tiga lokasi serbuan di tempat tinggal dan medan perniagaan sekitar Desa Palma Nilai.
“Daripada jumlah itu, seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada 44 dewasa lelaki dan lima dewasa wanita dengan kesemuanya berusia 20 hingga 60 tahun.
“Berdasarkan pecahan, mereka terdiri daripada enam warga Indonesia, tujuh Bangladesh, 14 Myanmar, empat Nepal, sembilan India, lima Pakistan, dua Nigeria dan seorang Yeman,” katanya kepada pemberita di sini.-KOSMO! ONLINE