KUCHING – Lelaki yang maut dengan kesan tembakan di kepala di dalam sebuah kereta di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini pagi tadi, bukanlah pemandu, sebaliknya penumpang kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd. Irwan Hafiz Md. Radzi berkata, mangsa berusia 34 tahun itu merupakan penumpang kereta Perodua Myvi terbabit.
Katanya, pada pukul 5.30 pagi tadi, dua lelaki datang ke Balai Polis Batu Kawa memaklumkan rakan mereka terbaring dalam kereta dipercayai terkena tembakan ketika memandu di jalan terbabit.
“Pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa berusia 34 tahun itu.
“Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan mangsa duduk di bahagian penumpang depan atau belakang ketika kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta supaya menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Sylvarius di talian 013-863 7241.- KOSMO! ONLINE