LONDON – Chelsea terus menyalakan harapan untuk melangkah ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas menewaskan Everton 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, The Blues berjaya memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata, sekali gus kembali berada dalam kelompok empat teratas.
Chelsea nyata berada dalam kelas tersendiri pada perlawanan itu apabila menguasai sepenuhnya permainan selain langsung tidak membenarkan The Toffees melakukan sebarang percubaan tepat di separuh masa pertama.
Terdesak untuk mencatat kemenangan, The Blues menampilkan aksi cukup agresif sejak awal perlawanan dan usaha itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya membuka tirai jaringan menerusi Nicolas Jackson pada minit ke-27.
Sebaik sahaja menghasilkan gol, Chelsea terus menekan pasukan pelawat menerusi gerakan-gerakan berbahaya, namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat aksi separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup seimbang dan Everton hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Beto tetapi percubaannya ditepis penjaga gol, Robert Sanchez.
Chelsea juga hampir menggandakan kedudukan 12 minit kemudian hasil gerakan dilakukan pemain sayap, Noni Madueke, namun sepakan lencong yang dilakukan berjaya diselamatkan Jordan Pickford.
Everton sekali lagi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-87 hasil percubaan Dwight McNeil tetapi Sanchez cemerlang menampan sepakan dilakukan bagi memastikan Chelsea mengutip tiga mata penting. – KOSMO! ONLINE