MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti menepis spekulasi aksi final Piala Raja Sepanyol menentang Barcelona di Estadio de La Cartuja, Seville awal pagi esok bakal menjadi medan terakhir buatnya sebelum berundur daripada skuad The Galacticos.
Masa depan Ancelotti kini menjadi tanda tanya selepas mereka tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selain menduduki tangga kedua La Liga ketika ini.
Difahamkan, pengurusan Real sudah menghubungi beberapa calon utama untuk menggantikan Ancelotti dengan nama pengendali Bayer Leverkusen yang juga bekas pemain tengah kelab itu, Xabi Alonso hangat dikatakan sebagai calon pilihan.
Bagaimanapun, Ancelotti enggan terlalu risau mengenai kedudukannya, sebaliknya fokus untuk membantu pasukan menjulang trofi berprestij kali ini.
“Sekarang bukanlah masa yang tepat untuk bercakap mengenai masa depan kerana saya mahu fokus tamatkan saingan musim ini bersama pasukan. Kami masih ada dua lagi kejuaraan yang perlu diburu musim ini.
“Presiden kelab, Florentino Perez masih memberi sokongan buat saya dan yakin kedudukan saya akan selamat tidak kira apa jua keputusan di pentas final nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Real mengesahkan pemain tengahnya, Eduardo Camavinga mengalami kecederaan pangkal paha yang serius dan terpaksa disisihkan sehingga tiga bulan.
“Kecederaan dialami Camavinga selepas aksi La Liga bertemu Getafe awal minggu ini agak serius dan bakal disisihkan daripada aksi final Piala Raja Sepanyol,” kata Real dalam satu kenyataan. – AGENSI