BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada komponen Pakatan Harapan (PH) kerana membantu parti itu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan itu diterjemahkan seperti mana PRK terdahulu di DUN Nenggiri, Kelantan dan DUN Mahkota, Johor yang dimenangi oleh calon BN.
“Sepanjang tempoh berkempen, saya mengucapkan terima kasih bukan hanya kepada jentera BN daripada kesemua parti komponen, tetapi juga kepada jentera parti-pari komponen PH yang telah membantu kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Risda Madani Zon Utara Tahun 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid mendoakan agar kemenangan berpihak kepada calon BN yang mewakili gabungan BN-PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan sejak tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 pada hujung 2022.-KOSMO! ONLINE