KUCHING – Terdapat sebanyak 8,554 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara ketika ini termasuk 1,092 daripadanya di Sarawak.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, KRT merupakan salah satu alat paling berkesan memupuk, menyemai dan menjaga perpaduan di negara ini.
“Saya menyeru kepada semua khususnya generasi muda melihat KRT bukan sebagai satu badan yang hanya wujud di papan tanda atau kertas kerja semata-mata.
“Marilah kita sertai dan menghidupkan semangat KRT sebagai satu gerakan rakyat yang berlandaskan semangat kekitaan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Sarawak Tahun 2025, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan sukarelawan Rukun Tetangga (RT).
Menurut beliau, RT bertindak sebagai barisan hadapan masyarakat membantu kerajaan memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.
Ujar beliau, kepentingan KRT bukan sahaja terletak pada program, tetapi pada semangat yang dihidupkan, semangat kekitaan, semangat saling percaya dan semangat bersatu.
“Inilah asas kepada keharmonian dan kestabilan negara kita,” katanya.
Beliau pada majlis itu turut mengumumkan sebanyak 39 KRT dipilih untuk dijadikan sebagai KRT Progresif di Sarawak pada tahun ini.
Selain itu, turut diumumkan peruntukan RM302,770 kepada lima tabika perpaduan iaitu RPR Permyjaya Miri, Ong Tiang Swee Kuching, Sungai Plan Bintulu, Siol Kandis Kuching dan Kampung Pahlawan Limbang.
“Peruntukan ini bagi menjalankan kerja-kerja penambahbaikan yang dapat memberi manfaat kepada anak-anak kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE