fbpx

180 anggota PDRM ditugaskan sempena perlawanan akhir Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perlawanan Piala Malaysia yang melibatkan pasukan JDT dan Sri Pahang.

PETALING JAYA – Seramai 180 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sempena Perlawanan Akhir UNIFI Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlangsung malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa dalam satu kenyataan berkata, penugasan bermula seawal pukul 10 pagi dengan rondaan di sekitar kawasan stadium.

“Penutupan serta lencongan jalan pula dilaksanakan bermula pukul 2 petang dan diteruskan sehingga tamat perlawanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku susulan kehadiran ribuan penyokong dari kedua-dua pasukan.

“Beberapa laluan utama ditutup sepenuhnya dan trafik dialihkan ke laluan alternatif seperti ke arah Awan Kecil, Awan Besar, Jalan Radin, Sri Petaling, Shah Alam, Kinrara dan Bulatan Kuda bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, operasi ini dijalankan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta penyokong yang hadir ke perlawanan tersebut.

Semua pengguna jalan raya turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan pegawai trafik di lokasi yang dimaklumkan.

Perlawanan malam ini bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang.

Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia ialah pada musim 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-
3 selepas terikat 2-2.

Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang 3-0 dan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI