PETALING JAYA – “Hari ini dia dapat A-. Tetapi aku tak sempat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks.”
Demikian luahan sayu seorang guru, Muslim Ismail, yang berkongsi kisah menyentuh hati mengenai bekas anak muridnya yang baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Muslim berkata, pelajar terbabit merupakan seorang murid yang baik dan lurus, namun kerap tidak hadir ke sekolah ketika berada di Tingkatan Empat.
“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya. Bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh kerana kelemahan untuk memahami dan mengingat,” katanya.
Bagaimanapun, segalanya berubah apabila pelajar itu menunjukkan minat dalam bidang nyanyian dan puisi.
“Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai,” ujarnya.
Menurut Muslim, meskipun pelajar itu tidak pernah lulus dalam subjek Landskap yang diajar, dia tetap rajin dan berusaha menyiapkan tugasan dengan bersungguh-sungguh.
“Kadang-kadang bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, aku sendiri yang hantar dia pulang. Masa itu jugalah aku sempat beri nasihat dan semangat kepadanya,” katanya.
Kisah itu turut menyentuh hati pengguna yang rata-ratanya memuji keprihatinan dan kasih sayang seorang guru terhadap muridnya.
“Terbaik sangat cikgu ini, subjek dia je A. Al-Fatihah buat adik,” tulis Safida Saim.
“Susah nak cari cikgu yang ambil tahu hal budak kelas belakang. Terima kasih cikgu,” komen Diyana Nur.
“Sudah tentu cikgu yang hebat dan ikhlas di hati murid. Tahniah cikgu, al-Fatihah untuk anak murid cikgu,” luah Mai Fadz. – KOSMO! ONLINE