GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk di lima buah kampung mampu menarik nafas lega selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti (Spegkom) di kawasan Ladang Subong di sini.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, kos sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi memasang Spegkom sepanjang 1.6 kilometer di Ladang Subong.
Katanya, pembinaan pagar elektrik itu merupakan sumbangan pihak Perhilitan bagi menyelesaikan masalah gangguan gajah liar yang menggangu tanaman penduduk sejak 2021.
“Pemasangan Spegkom Subong merupakan projek komuniti yang pertama di Kelantan sekaligus dapat memanfaatkan lebih 3,500 penduduk kampung yang tinggal di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Subong, Kampung Sungai Terah, Kampung Awek dan Kampung Kundur.
“Pemasangan dilakukan pada 21 April lepas membabitkan penglibatan penduduk kampung dan pihak ladang. Sebanyak tujuh ekor gajah liar telah ditangkap dan dipindahkan dari sini dalam tempoh 2021 sehingga tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kesedar Sungai Terah, Wan Mohd. Suhanis Wan Sulaiman berkata, pemasangan pagar elektrik berkenaan dapat menyelesaikan kemelut yang dialami penduduk sejak hampir empat tahun lalu.
“Gajah liar itu bukan sahaja menceroboh kawasan ladang dan kebun malah merosakkan tanaman yang diusahakan kami.
“Kami telah menanggung kerugian dalam jumlah yang besar kerana terpaksa menghadapi masalah ini yang berlarutan sejak tahun 2021 sehingga sekarang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, berterima kasih di atas kesudian pihak Perhilitan yang mengeluarkan peruntukan bagi menyelesaikan konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE