SAYA ada satu persoalan. Kenapa siput babi atau escargot tidak boleh dimakan sedangkan siput sedut boleh dimakan? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.
JAWAPAN: Siput terbahagi kepada dua iaitu siput darat dan siput akuatik. Siput akuatik adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih kerana termasuk di dalam umum firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 96. Juga sabda Rasulullah SAW: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.” (Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59))
Imam al-Nawawi juga telah menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafi’i bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih.
Ia adalah sebagaimana yang telah dinaskan oleh imam Syafi’i di dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/31-32 dan al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafie, 2/548)
Adapun bagi siput daratan seperti siput babi atau escargot, para ulama telah berbeza pandangan mengenainya kepada dua pendapat.
Pendapat yang pertama, siput darat haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya.
Pengharamannya adalah disebabkan ia dianggap jijik (kotor) dan tabiat semula jadi manusia menjauhinya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: “Menurut mazhab kami (Syafi’i) ia adalah haram (dimakan). Ini juga adalah merupakan pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Daud.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)
Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT : “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf : 157)
Manakala pendapat kedua, semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan.
Ini adalah merupakan pendapat Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)
Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi R.A, katanya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).” (Riwayat Abu Daud, 3798)
Di dalam al-Mudawwanah ada menyebutkan bahawa Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan?
Beliau menjawab: “Aku berpendapat hukumnya adalah seperti belalang. Sekiranya ia masih hidup, kemudian (ia dimatikan) dengan cara direbus atau dipanggang, maka aku berpandangan tidak mengapa memakannya.
Sekiranya ia telah mati (menjadi bangkai), maka tidak boleh dimakan.” (Lihat al-Mudawwanah, 1/542)
Kesimpulannya, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa semua siput akuatik seperti siput sedut adalah halal dimakan selagi tidak memudaratkan.
Manakala bagi siput daratan seperti siput babi dan lain-lain, kami cenderung kepada pendapat yang mengharamkannya sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor serta tabiat manusia semula jadi akan menjauhi perkara-perkara tersebut.
Imam al-Nawawi menjawab, mereka yang berhujah dengan hadis al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi bahawa perkataannya yang mengatakan dia tidak mendengar (mengenai pengharaman hasyarat), tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/17)