KEMAMAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 321.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Kerteh di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 12.05 tengah malam itu, mangsa, Hairodariush Amri Hairodadamizan, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badannya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, Hairodariush Amri dikatakan bersama rakan-rakannya yang turut bermotosikal dari Paka, Dungun.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Titian Berayun, Kijal di sini. Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunganginya seorang diri dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, motosikal dinaiki Hairodariush Amri berkenaan kemudiannya telah merempuh besi penghadang lebuh raya.
Beliau berkata, rempuhan tersebut menyebabkan remaja itu terseret hingga ke tengah laluan lebuh raya dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE