PETALING JAYA – Projek pembinaan tambahan 17 unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Agama Igan, Mukah di Sarawak berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada tarikh asal.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM16.39 juta itu berkenaan sepatutnya siap pada 31 Disember depan, namun berjaya disiapkan setahun lebih awal iaitu pada 30 Disember lepas.
Katanya, projek itu merupakan satu usaha bersama antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada para guru di sekolah terbabit.
“Ini merupakan bukti kecekapan dan komitmen tinggi pasukan pelaksana dan kontraktor tempatan dalam bersama-sama merealisasikan aspirasi Kerajaan Madani dan kementerian yang menekankan AOT (ahead of time) bukannya EOT (extension of time),” katanya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, skop projek melibatkan 17 unit rumah guru kelas F, sistem bekalan air, saliran serta perkhidmatan elektrik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Turut termasuk dalam projek berkenaan adalah tempat letak kereta berbumbung dan terbuka, prasarana luar bangunan dan kemudahan sokongan lain.
“Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat JKR, kontraktor, perunding serta komuniti sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE