PUTRAJAYA – Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya pada hari pengundian esok.
Itu antara nasihat diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada 31,281 pemilih berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab esok selepas kempen PRK Ayer Kuning berakhir lewat malam ini.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, majikan juga diingatkan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut
masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Mereka boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan proses undi.
“Selain itu, SPR juga menetapkan pengundi yang membawa telefon bimbit ke saluran perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan.
“Ia setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” katanya.
Sementara itu, pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi dilarang memakai baju atau mana-mana barnagan yang mempunyai nama dan simbol parti atau calon bertanding.
“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari
memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE