fbpx

Pembangunan ibu kota bukan hanya untuk golongan elit – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar suasana sekitar Kuala Lumpur. -GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Pembangunan di ibu negara tidak hanya boleh tertumpu kepada pembinaan gedung dan hotel besar untuk menarik kemasukan pelancong, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan yang memanfaatkan rakyat kebanyakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan sebelum ini selalunya menjurus dalam kalangan golongan elit, namun kurang ditumpukan kepada gerai makanan, kawasan perumahan dan bangunan bersejarah yang masih boleh dikaji.

Sehubungan itu, katanya, setiap perancangan pembangunan sekarang ini perlu secara langsung dan tuntas memusatkan kepada keperluan negara moden yang tidak meminggirkan rakyat marhaen.

“Kita tidak menolak untuk Kuala Lumpur menarik pelancong dan juga rakyat termasuk golongan elit yang perlukan hotel tujuh bintang, restoran yang megah dan hebat tiada masalah. Dia nak makan, dia bayar itu soal dia.

“Tetapi jangan kita fikir pembangunan bererti pemusatan ke arah itu sedangkan 80 peratus rakyat di warung, gerai, restoran kecil. Ini harus diberi perhatian namun ala kadar, tetapi kalau kita lihat kebanyakan staf kita daripada golongan itu. Jadi kita tukar ‘mindset’

“Kalau orang tanya saya Kuala Lumpur nak banggakan apa? Gedung besar ya, tapi saya lebih bangga majoriti rakyat dapat rumah selesa, makanan dan sewa gerai lebih murah, bersih dan indah. Ini baru memaknai madani. Saya tidak mahu madani jadi slogan lunak, tetapi tidak memberi bekas,” katanya pada majlis Peluncuran Warisan KL di Menara 1 DBKL di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur perlu diangkat sebagai sebuah kota warisan yang tidak hanya menjadi pusat pembangunan, tetapi juga diangkat daripada aspek sejarah, budaya dan nilai akhlak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, sesebuah kota bukan sahaja perlu memiliki fizikal yang menarik dan menawan sesuai dengan perkembangan teknologi dan zaman.

“Teknologi baru digital, kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga harus wajib kita segerakan. Tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi ertinya faham sejarah, budaya dan nilai akhlak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI