KUALA LUMPUR – Projek pembangunan perumahan rakyat selepas Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) diluluskan mesti disiapkan dengan cepat oleh semua pihak terlibat tanpa banyak alasan.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang kelewatan walau hanya dalam tempoh beberapa bulan akan membuatkan rakyat yang terpaksa menunggu berasa terseksa dan sengsara.
Ujar beliau, rakyat yang terlibat dalam pembangunan semula perumahan akan ditempatkan di rumah sementara sehingga projek tersebut selesai.
“Ini kebijaksanaan tentang kelulusan. Sebaik sahaja dilulusksn kita harus ambil tindakan menyegerakan kerana melewatkan pelaksanaan tiga bulan bermakna sengsara keluarga itu tiga bulan.
“Bayangkan rumah tak siap tiga, enam bulan tangguh. Saya kalau ada pegawai terlibat, nak hantar mereka hidup di rumah sementara itu supaya mereka tahu bagaimana sengsara dan seksa orang harus menunggu,” katanya pada majlis Peluncuran Warisan Kuala Lumpur (KL) di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri berkata, contoh projek pembangunan yang telah dibuktikan mampu dilaksanakan dengan cepat adalah Projek Perumahan Madani yang dapat disiapkan dalam tempoh 45 hari daripada jadual beliau berikan.
“Kita tahu biasanya lapan bulan kaji dan ada saja alasannya. Tengok ini tengok itu dan macam-macam alasan. Tapi saya tahu caranya. Saya kata Perdana Menteri akan laksanakan pada tarikh sekian.. 46 hari daripada jadual saya bagi.
“Boleh siap pula. Kelulusan dapat, kecekapan semua pantas.. luar biasa. Saya ‘salute’ kita mampu lakukan yang tak mampu dilakukan sebelum ini, tetapi mengapa projek dirasmikan Perdana Menteri sahaja boleh dilaksanakan begitu cepat? Saya bukan ada saham dalam projek itu,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Projek Perumahan Madani di Pulau Pinang yang akan beliau luncurkan awal Jun depan pula menyaksikan semua kelulusan disiapkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai dalam tempoh 36 hari.
Jelas beliau, kecepatan proses itu secara langsung dapat mengurangkan kos dan beban rakyat, namun tanpa mengabaikan syarat-syarat tegas yang telah ditetapkan untuk kelulusan projek.
Justeru, katanya, beliau berharap Khazanah Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memahami contoh tersebut dalam konteks Warisan KL.
“Bukan saja nak indah, tapi boleh dengan cepat dan kepesatan kerana kita telah ketinggalan lama. Ada projek bertahun-tahun telah berjalan belum siap. Bila boleh siap? Hampir kiamat (agaknya) masa itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE