PETALING JAYA – Malaysia masih bertuah menikmati keamanan tatkala banyak tempat di serata dunia menghadapi konflik bersenjata dan peperangan sehingga menyebabkan kematian ribuan rakyat mereka.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, seluruh rakyat Malaysia seharusnya bersyukur atas nikmat itu kerana tidak perlu bertarung nyawa disebabkan konflik bersenjata dan peperangan.
“Mungkin kerana kita tidak bertarung nyawa mengelakkan diri daripada bom, ada dalam kalangan kita yang sengaja mengapi-apikan isu sehingga menegangkan perhubungan etnik berbeza di negara kita.
“Semoga Allah S.W.T terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta perasaan kasih sayang antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia,” titah baginda di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Raja Permaisuri Agong turut berkongsi semula nukilan baginda pada tahun 2018 membabitkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor.
Dalam nukilan tersebut, Raja Zarith Sofiah antaranya menceritakan tentang kesedihan baginda sekeluarga berikutan pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
Perasaan dukacita tersebut bagaimanapun ditambah dengan kesedihan kerana berlakunya sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum ketika itu. – KOSMO! ONLINE