MELAKA – Seorang pengawal keselamatan direman selama empat hari bermula hari ini selepas dipercayai mencederakan isterinya dengan menggunakan pedang samurai dua minggu lalu.
Perintah reman sehingga 28 April itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari ke atas suspek berusia 27 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca apabila pemuda itu menuduh isterinya berusia 19 tahun curang dan mencari kenalan baharu susulan penemuan aplikasi di telefon bimbit mangsa.
Katanya, kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika mangsa berada di rumah keluarganya di Krubong di sini pada 12 April lalu.
“Lelaki itu berang dan menuduh isterinya curang serta mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas terjumpa aplikasi mencari kenalan di telefon milik wanita itu. Bagaimanapun, mangsa menafikan tuduhan tersebut.
“Suspek kemudian mengambil pedang samurai sepanjang 0.5 meter dalam almari bilik dan mengugut bunuh supaya isterinya mengaku. Wanita itu mengalami lebam di lengan kiri dipercayai dipukul di bahagian belakang pedang,” katanya.
Sumber itu memberitahu, pergaduhan tersebut kemudian berlarutan sehingga 21 April lalu apabila suspek terus mendesak isterinya untuk mengaku curang dengan mencekik leher dan menumbuk muka wanita terbabit.
“Suspek mendesak pengadu supaya mengaku di hadapan keluarganya sambil mengeluarkan ugutan bunuh. Pengadu yang ketakutan membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE