KUALA LUMPUR – Pelakon Aniq Suhair menafikan dakwaan dirinya kecewa mahupun merajuk dengan dunia hiburan, sebaliknya kehilangan buat seketika disebabkan mahu menumpukan perhatian terhadap pengajian dalam jurusan perniagaan.
Ujar Aniq atau nama sebenarnya Mohammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika demi menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum kembali aktif berlakon dan melakukan kerja-kerja seni lain.
“Saya tidak pernah rasa kecewa atau kecil hati. Cuma saya ambil sedikit masa untuk berehat. Rasanya sudah lebih setahun saya menjauh dari kamera.
“Dalam tempoh itu, saya beri sepenuh perhatian pada pelajaran, usahakan beberapa bisnes, dan yang paling utama, saya nak pulihkan kembali semangat agar dapat menyambung kerjaya lakonan dengan lebih fokus. Insya-Allah.
“Pengajian saya pun masih belum selesai, jadi saya belum bersedia beri komitmen penuh,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bekas peserta Hero Remaja itu, pengajian yang memerlukan tumpuan penuh tidak boleh dilakukan sambil lewa apatah lagi bergelar anak seni yang sentiasa terikat dengan jadual padat.
“Saya sedar dunia lakonan menuntut tenaga dan masa yang banyak.
“Tapi bila saya rehat seketika, saya perasan saya boleh beri sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Semua subjek saya dapat keputusan yang membanggakan.
“Sebab itu saya tekad untuk habiskan belajar dulu sebelum fikir pasal kerja seni,” ujarnya pada pada majlis rumah terbuka produksi Global Station Sdn. Bhd, baru-baru ini.
Pelakon drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu juga turut membuka cerita berkenaan kontroversi panas yang pernah mengaitkan namanya kononnya terlibat dengan skandal menghamilkan seorang wanita.
Katanya, pengalaman tersebut dijadikan iktibar dan pengajaran untuk lebih berhati-hati memilih rakan serta mengenal keikhlasan manusia sekeliling.
“Saya ambil perkara itu sebagai pengajaran besar dalam hidup.
“Pengalaman itu ajar saya supaya lebih waspada dan tidak mudah percaya pada sesiapa yang hadir dalam hidup kita.
“Kini saya lebih selesa berkawan dengan individu yang benar-benar jujur, saling menyokong dan memberi nilai dalam hidup saya,” katanya.
Aniq dijangka menamatkan pengajian pada Ogos ini di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. – KOSMO! ONLINE