BIARPUN ramai yang menjangkakan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, bekas pemain Pahang, Mohammad Gopi Rizqi tetap beranggapan peluang untuk Sri Pahang FC mencipta kejutan tetap ada walaupun tipis.
Gopi yang pernah membantu Pahang memenangi piala berprestij itu pada 2014 berkata, apa-apa boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini (esok).
Jelasnya, walaupun tempang tanpa kehadiran Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, Tok Gajah di bawah kendalian Fandi Ahmad mempunyai kekuatan tersendiri.
“Jika melihat di atas kertas, JDT tampak pasukan yang lebih mantap di setiap sudut berbanding Sri Pahang, namun aksi 90 minit di atas padang adalah berbeza.
“Oleh itu, pemain Sri Pahang tidak boleh berputus asa kerana apa-apa boleh berlaku. Berikan persembahan 100 peratus dalam perlawanan terakhir Liga Malaysia musim ini.
“Sebagai pemain, saya sendiri pernah melaluinya ketika berdepan JDT pada aksi final Piala Malaysia 2014. Bermain dengan 10 pemain, kami bangkit menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti dan kami muncul juara, segalanya tak mustahil,” ujarnya.
Bagaimanapun, Gopi yang pernah menyarung jersi Harimau Selatan pada 2016 berkata, kekuatan yang dimiliki JDT tak dapat disangkal lagi dan ini dibuktikan apabila mereka tidak pernah tewas sepanjang musim ini.
Katanya, jentera serangan yang dikemudi oleh Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi pasti memberi kesukaran buat benteng Tok Gajah untuk terus bermain bertahan.
Tambahnya, kehadiran penyokong sebagai pemain ke-12 juga penting buat kedua-dua pasukan untuk beraksi dengan lebih baik di pentas final itu.
“Aura final memang lain macam. Dengan kapasiti stadium lebih 85,000 penonton, ia akan memberi kesan kepada persembahan pemain.
“Jadi, kehadiran penonton amat penting. Sorakan dan sokongan mereka dapat meniup semangat pasukan serta merentap tumpuan pasukan lawan, harap penyokong dapat penuhkan stadium, Sabtu ini,” ujarnya.