LEEDS – Tidak sampai seminggu mengemudi Leeds United kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan, Daniel Farke berdepan kemungkinan dipecat sebagai jurulatih pasukan itu.
Ia gara-gara pihak pengurusan tidak begitu yakin dengan kemampuan pengendali dari Jerman itu untuk memastikan Leeds terus kekal berada dalam divisyen tertinggi bola sepak England berkenaan.
Sekiranya benar seperti didakwa, keputusan itu mungkin kelihatan kejam, namun ia dianggap demi kepentingan kelab kerana Leeds enggan menjadikan EPL ‘persinggahan’ sementara sebelum kembali ke Liga Kejuaraan.
Justeru, pengurusan Leeds dikatakan sudah mula menyenaraikan beberapa calon untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Farke, termasuk bekas pengendali Real Madrid dan Chelsea, Jose Mourinho.
Impian besar skuad The Whites itu mungkin boleh direalisasikan memandangkan Mourinho pernah menyuarakan hasrat untuk mengemudi pasukan yang tidak beraksi dalam kancah bola sepak Eropah sekiranya meninggalkan Fenerbahce.
Walaupun corak permainannya dianggap sudah lapuk dan ketinggalan, namun kredibiliti dimiliki jurulatih dari Portugal itu mampu untuk membantu Leeds kekal bersaing dalam Liga Perdana bagi tempoh jangka panjang.
Sementara itu, Farke boleh dilabelkan sebagai jurulatih terbaik dalam Liga Kejuaraan apabila pernah mengemudi Norwich City ke Liga Perdana sebanyak dua kali, namun tersingkir pada musim berikutnya. – AGENSI