LONDON – Arsenal gagal mempamerkan kemampuan sebenar apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Crystala Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan pendahulu liga, Liverpool semakin hampir untuk menjulang gelaran musim ini dan mereka hanya memerlukan keputusan seri ketika bertemu Tottenham Hotspur Ahad nanti.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyuarakan rasa kecewa selain melabelkan corak permainan ditampilkan barisan pemainnya pada perlawanan tersebut sebagai di bawah kemampuan sebenar The Gunners.
“Ini bukan corak permainan sebenar Arsenal, kami seolah-olah menjatuhkan standard pasukan apabila gagal mempamerkan aksi konsisten. Kami banyak kehilangan bola kepada lawan, jadi saya sangat kecewa.
“Saya tahu ia adalah sebahagian daripada bola sepak, tetapi kami kehilangan dua mata penting. Kegagalan menampilkan aksi konsisten menyebabkan kami tidak dapat menguasai permainan hari ini (semalam),” katanya.
Pada perlawanan itu, Arsenal mendahului aksi separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Jakub Kiwior dan Leandro Trossard, manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Eberechi Eze.
Bagaimanapun, ketika The Gunners sedang berkira-kira untuk meraikan kemenangan, penyerang Palace, Jean-Philippe Mateta menjadi wira pasukan itu apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-83. – AGENSI