JAKARTA – Seorang doktor menjadi perhatian ramai kerana berkahwin dengan anak Sultan Makassar di Indonesia dan menerima pelbagai barang berharga termasuk wang hantaran berjumlah 1 bilion rupiah (RM260,065), lapor portal berita Tribunnews semalam,
Majlis itu berlangsung di Hotel Claro Makassar, wilayah Sulawesi Selatan pada 20 April lalu.
Menerusi rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kolakainfo, seorang juruacara menyebut beberapa hantaran yang diberikan oleh pihak pengantin lelaki.
Ia terdiri daripada satu set barangan kemas, set peralatan solat, sebidang tanah, sebuah rumah dan mahar sebanyak 88 riyal (RM103).
Dia juga menerima sepasang tempat letak makanan (Bosara) dan harta pusaka.
Rakaman itu mencatatkan lebih 129,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Wanita beruntung,” kata seorang netizen.
“Mereka memang kaya, tidak perlu terkejut,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI