MUAR – Seorang penganggur dikenakan hukuman penjara lima bulan selepas gagal membayar denda RM2,800 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengintai wanita sedang melepas ‘hajat’ di sebuah tandas awam, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Nazrullah Basir, 24, yang sebelum itu dijatuhi hukuman denda selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 26 tahun dengan cara mengintai melalui bawah pintu tandas awam Tanjung Emas, di sini, pukul 9.30 pagi, 14 April lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu yang juga mangsa sedang ‘berhajat’ dalam tandas awam wanita, dia menyedari terdapat seorang lelaki mengintainya melalui bawah pintu.
Bertindak atas maklumat diperolehi, pada pukul 12 tengahari, 21 April lalu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Ketika disoal siasat, tertuduh mendakwa ada suara bisikan yang memintanya melakukan perbuatan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludin manakala tertuduh diwakili Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE