BOLOGNA – Jurulatih Bologna, Vincenzo Italiano teruja menamatkan penantian 51 tahun untuk melangkah ke final Piala Itali selepas menyingkirkan Empoli dengan agregat 5-1 di separuh akhir awal pagi tadi.
Pada aksi timbal balik di Stadium Renato Dall’Ara itu, tersebut, skuad Rossoblu yang memiliki kelebihan 3-0 hasil kemenangan di separuh akhir pertama tidak mempunyai masalah untuk meneruskan momentum dengan meraih gol menerusi Giovanni Fabbian dan Thijs Dallinga.
Keputusan tersebut menyaksikan Bologna mara ke final Piala Itali buat kali pertama sejak 1974 dan bakal bertemu AC Milan di Stadium Olimpik, Rom pada 14 Mei ini.
Kata Italiano, pujian wajar diberikan kepada pemain yang bekerja keras untuk melakar sejarah baharu buat pasukan selepas sekian lama tidak beraksi di perlawanan akhir kejohanan berprestij itu.
“Akhirnya kami berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Apa yang dikecapi ketika ini adalah hasil kerja keras pemain dan kejayaan ini hadiah buat penyokong dan rakyat di Bologna yang sentiasa berada di belakang pasukan,” katanya.
Sementara itu, Italiano mengakui prestasi yang dipamerkan musim ini di luar jangkaan selepas kehilangan beberapa pemain bertaraf bintang seperti Joshua Zirkzee dan Riccardo Calafiori selain jurulatih musim lalu, Thiago Motta.
“Ketika saya dipilih menggantikan Motta, saya ada berjumpa dengan pemilik kelab dan beliau mahu kami menjulang trofi musim ini.
“Mungkin ramai yang meragui keupayaan saya tetapi saya bertekad untuk membuktikan bahawa mereka silap,” katanya. – AGENSI