PETALING JAYA – Presiden Donald Trump dijangka akan menghentikan kenaikan tarif timbal balik baharu terhadap import ke Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh tiga bulan lagi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjangkakan keadaan itu berkata, tarif tinggi dikenakan Trump lebih ‘menyakiti’ AS berbanding negara lain.
“Saya beri Trump tempoh tiga bulan sebelum dia menghentikan tarif tinggi beliau. Mungkin lebih. Mungkin juga saya silap. Kita akan lihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, keseluruhan idea berkenaan tarif adalah untuk meningkatkan harga import bagi membolehkan produk tempatan lebih terjual.
Katanya, keadaan itu namun bergantung kepada ketersediaan produk tempatan sedangkan lebih sedekad AS bergantung kepada produk import yang lebih murah.
Tambahnya, produk AS seperti iPhone dikeluarkan di negara lain iaitu China dan India untuk dijual di pasaran dunia termasuk di AS sendiri disebabkan kos yang rendah.
Justeru, katanya, tarif tinggi dikenakan terhadap import akan menyebabkan kos iPhone yang dikeluarkan di China akan lebih 120 peratus di AS berbanding negara lain.
“AS bukan pengeluar besar iPhone. Jika import jadi mahal kerana tarif tinggi, tidak akan ada iPhone tempatan untuk memenuhi permintaan AS.
“Trump sudah pun terpaksa menangguhkan (jeda) tarif tinggi ke atas elektronik. Masalah yang sama akan dihadapi oleh produk lain,” katanya.
Dr. Mahathir seterusnya berkata, kesan kenaikan tarif oleh Trump adalah peningkatan yang tinggi dalam kos sara hidup di AS.
Katanya, jika AS cuba menghasilkan semua produk itu di AS, kos akan menjadi sangat tinggi sehingga sukar dijual dan tidak boleh dieksport kerana tidak dapat bersaing di pasaran dunia.
“Kos sara hidup yang tinggi ini akan menyebabkan gaji meningkat. Ini sekali lagi akan meningkatkan kos pengeluaran dan kos sara hidup.
“AS akan kehilangan pasaran luar kerana produknya tidak dapat bersaing di pasaran dunia. Akan ada banyak demonstrasi oleh rakyat AS. AS tidak akan menjadi hebat,” katanya. – KOSMO! ONLINE