SHAH ALAM – Berebut tempat meminta sedekah menjadi motif seorang lelaki mati ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, di sini hari ini.
Mangsa berusia 40 tahun yang juga peminta sedekah mati di lokasi kejadian akibat ditikam beberapa kali di bahagian dada menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 12 tengah hari sebelum berjaya menahan suspek lelaki berusia 28 tahun kira-kira setengah jam kemudian di lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek ingin meminta sedekah di kawasan tersebut.
“Semasa kejadian telah berlaku pertengkaran mulut di antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah. Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam dada mangsa beberapa kali,” katanya, hari ini.
Beliau menambah, tikaman tersebut telah menyebabkan mangsa jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, dekat sini untuk bedah siasat.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau. Hasil ujian saringan awal air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif sebarang penyalahgunaan dadah,” jelasnya.
Kata beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat kira-kira pukul 10 pagi esok di Mahkamah Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 0148905051,” katanya. – KOSMO! ONLINE