PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) memohon maaf atas kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.
KPM dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas dan serta-merta telah diambil terhadap semua pihak terlibat.
Katanya, kecuaian tersebut tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang
kebesaran dan kedaulatan negara.
“Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan.
“Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan,” katanya hari ini.
Terdahulu, menerusi Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini terdapat beberapa imej janaan kecerdasan buatan memaparkan kesalahan pada bendera Jalur Gemilang.
Kesalahan yang dikesan itu antaranya pada muka surat 14 dan 15 yang memaparkan imej Jalur Gemilang mempunyai dua bintang selain jumlah bucu pada bintang tidak tepat. – KOSMO! ONLINE