KOTA BHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa agar menyegerakan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Golok sebagai langkah memperkasakan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, pemasangan mesin pengimbas atau pengesan tiga pintu masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri ini turut diperlukan dalam usaha mengukuhkan tahap keselamatan di sempadan negara.
“Selain itu, penggunaan dron biometrik dan mesin pengesanan di ICQS antara cadangan yang diberikan hasil perbincangan bersama polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Jadi, kerajaan negeri berharap perkara itu disampaikan oleh wakil Kerajaan Perpaduan iaitu Galas (Mohd. Syahbuddin Hashim), Kota Lama (Dr. Hafidzah Mustakim) dan Nenggiri (Mohd. Azmawi Fikri Ab Ghani) kepada pihak berkenaan,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Zamakhshari yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra memberitahu, penggunaan mesin pengimbas amat diperlukan di pintu masuk utama negara sejak pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok ditutup bermula 1 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE