SUNGAI BULOH – Penduduk Kampung Kubu Gajah, di sini menggesa supaya Projek Rancangan Tebatan Sungai Kedondong disiapkan dengan kadar segera bagi menangani masalah banjir.
Mangsa, Sofiah Husain, 44, berkata, dia yang tinggal di situ selama lebih 23 tahun terpaksa menempuh kejadian banjir hampir setiap tahun terutama pada musim hujan lebat.
“Setahu saya, kerja mendalamkan dan membesarkan sungai dijalankan secara berfasa dan kawasan yang telah siap tidak dinaiki air.
“Sungai belakang rumah belum lagi siap. Bila hujan lebat malam tadi air sungai naik dengan cepat menyebabkan rumah saya di Jalan Gajah 24 dinaiki air setinggi paras dada,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Pagi, Paya Jaras, di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Rojiah Ackhirman, 31, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama keluarga sebelum dikejutkan oleh jirannya.
“Ketika itu air baru naik dalam paras buku lali jadi saya segera selamatkan barangan penting dan letakkan ia di tempat tinggi sebelum ke PPS dengan anak-anak,” jelasnya.
Tambahnya, dia berharap pihak berkaitan dapat menyegerakan projek tebatan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
Untuk rekod, Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong telah dimulakan pada 2015, namun terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali iaitu pada 2016, 2017 dan 2019.
Penangguhan itu dipercayai disebabkan keengganan pemilik struktur di kawasan rizab sekitar Sungai Kedondonh mengosongkan kediaman masing-masing.
Difahamkan, setakat pukul 3 petang, lebih 200 keluarga terjejas dalam kejadian banjir di sini dan empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi memindahkan mangsa.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di Sungai Buloh, di sini dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE