SUNGAI BULOH – Penduduk di Kampung Paya Jaras, di sini melahirkan kebimbangan susulan insiden banjir kilat yang menjejaskan lebih 80 buah rumah ekoran hujan lebat, awal pagi tadi.
Mangsa, Hosaima Hosaini, 40, berkata, dia menyedari kejadian tersebut ketika sedang bersiap untuk pergi ke kerja sekitar pukul 6.30 pagi.
“Bila nampak air mula masuk rumah, saya dan suami bergegas alihkan barang perabot dan elektrik ke tempat yang selamat.
“Kelam-kabut kami pagi tadi, nasib baik ahli keluarga yang berdekatan datang membantu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui, di sini hari ini.
Katanya, kejadian tersebut merupakan kali kedua sejak kali terakhir kawasan itu dilanda banjir besar pada 2014.
“Selepas Sungai Kedondong di belakang ini dibesarkan, memang sudah tiada kejadian banjir. Tetapi kali ini, agak pelik, kami tak tahu macam mana boleh banjir.
“Saya risau kejadian ini akan berulang dan saya harap pihak berwajib boleh datang ke sini untuk melihat perkara ini,” jelasnya.
Sementara itu, mangsa, Muhammad Rozaimie Paris, 34, yang baru menetap di kawasan itu sekitar tiga tahun lalu turut terkesan dengan kejadian terbabit.
Katanya, limpahan air banjir itu dipercayai datang daripada sungai berhampiran meskipun didakwa sudah dibesarkan sebelum ini.
“Saya baharu sahaja sewa di sini kerana dekat dengan tempat kerja dan tak sangka rumah saya ini dalam kawasan banjir.
“Saya harap wakil rakyat di sini dapat memberikan penyelesaian kerana saya bimbang kalau kejadian ini berulang,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafizhullah Rosli, 22, berkata, dia mengalami kerugian sekitar RM3,000 apabila beberapa buah motosikal miliknya ditenggelami air banjir.
“Ada beberapa yang sempat saya selamatkan, dua motosikal lagi masuk air. Nasib baik tiada lumpur,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! sebanyak 80 buah rumah di Kampung Paya Jaras Hilir dan enam kediaman di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini terjejas dalam kejadian banjir, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE