KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mencari penyelesaian terbaik dalam isu tarif balas demi kepentingan bersama.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau kini berada di Washington, Amerika Syarikat (AS) untuk lawatan selama dua hari bagi bertemu pegawai kanan kerajaan AS.
“Tiba di Washington untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia. Sebelum bertemu pegawai kanan kerajaan AS, saya adakan perbincangan dengan pasukan MITI di sini.
“Kita teliti strategi dan usaha terkini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan Malaysia-AS. Kerja keras dan perancangan rapi penting untuk hasil yang positif. Kita komited untuk mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Zafrul menerusi hantaran berasingan berkata, beliau hari ini mengadakan perbincangan yang produktif Pegawai Kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) AS, Matt Murray.
Menurut beliau, perbincangan dengan Murray bagi mencari jalan penyelesaian perdagangan yang adil dan saksama.
Ujar beliau, Malaysia hadir sebagai rakan yang membina, bukan sahaja dalam konteks dua hala tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan ahli APEC yang komited.
“Kami menghargai keterbukaan AS untuk mendengar dan bersedia untuk meneruskan perbincangan secara berstruktur demi manfaat bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE