SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) masih mengenal pasti jumlah keluarga asnaf yang terjejas dalam kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, berdasarkan data terkini, terdapat sebanyak 166 keluarga asnaf di kawasan berkenaan.
Katanya, pengesanan asnaf itu dilakukan agar bantuan dapat disalurkan termasuk pembinaan atau pembaikan kediaman.
“LZS sudah kenal pasti asnaf, tetapi belum dapat menilai kerosakan sebab kawasan tidak dibenarkan masuk.
“Jadi lZS, menunggu data ni daripada pihak bertanggungjawab,” katanya sidang akhbar di sini hari ini
Beliau memberitahu, pihaknya memberikan bantuan awal sebanyak RM500 kepada 300 keluarga muslim yang terjejas pada minggu pertama kejadian.
Ujarnya, jumlah itu berdasarkan bilangan mangsa yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Jadi, kita bersama jabatan kerajaan lain sedang mengesan mangsa-mangsa lain yang mungkin tinggal dengan keluarga atau saudara sepanjang insiden itu,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga masih menunggu laporan penuh kerugian sebelum agihan bantuan lain disalurkan kepada mereka yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE