BENTONG – Laluan utama ke Institut Aminudin Baki Cawangan Genting Highlands (IABCGH) ditutup ekoran kejadian tanah runtuh kira-kira 10 meter dari pondok pengawal utama sejak Jumaat lalu.
Pengarah Institut Aminudin Baki cawangan Genting Highlands, Norazmir Ahmad berkata, sebagai langkah keselamatan laluan utama tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan sehingga dimaklumkan kelak.
“Semua urusan keluar dan masuk warga IABCGH kini dialihkan ke Pos Belakang berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Layang di sini.
“Segala perkembangan berkaitan perkara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norazmir, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong dan surat rasmi sedang disediakan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu beliau menasihatkan semua warga IABCGH agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk gangguan bekalan air dan elektrik.
“Arahan penadahan air telah dikeluarkan dan langkah-langkah sedang diambil di blok latihan serta menara bagi menghadapi sebarang situasi yang mungkin berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE