fbpx

Kos tukar paip air dasar laut Langkawi berbilion ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Langkawi yang pernah berhadapan gangguan bekalan air di Langkawi sebelum ini. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kos penukaran keseluruhan paip bekalan air dasar laut dari tanah besar ke Langkawi sepanjang 36 kilometer bagi mengatasi gangguan bekalan air di pulau itu dianggarkan mencecah berbilion ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, sehubungan itu, tindakan pembaikan ke atas paip yang mengalami kebocoran akan dilakukan dengan kos sebanyak RM50 juta.

“Tukar keseluruhan paip yang berusia hampir 30 tahun itu boleh mencecah berbilion ringgit, jadi buat masa ini kita belanja RM50 juta termasuk kos konsultan 10 juta dan selebihnya kos pembaikan (paip),” kata Mohamad Yusoff (PN-Kuala Nerang) ketika menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) berhubung kos untuk menukar keseluruhan paip dasar laut ke Langkawi.

Kata beliau, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan melaksanakan Projek Pembaikan Paip Dasar Laut dari tanah besar ke Langkawi itu pada Ogos ini dan dijangka siap pada Februari tahun depan.

“Skop kerja adalah membekal dan memasang 19 unit pressure steel clamp dan ia biasanya melibatkan 19 tempat paip yang bocor secara memanjang, manakala paip berlubang akan dibuat pembaikan.

“Selain itu, skop kerja kedua adalah membekal dan memasang enam unit rubber patch stopper untuk menghalang air keluar dari paip. Seterusnya cathodic protection iaitu kaedah untuk mencegah kakisan atau karat,” ujarnya.

Jelasnya, projek pembaikan itu dapat meminimumkan gangguan bekalan air dihadapi 3,500 akaun di pulau itu yang mana selama ini SADA menghantar bekalan air menggunakan lori serta pembinaan beberapa rumah pam untuk meningkatkan tekanan air sekali gus mengurangkan masalah air tidak berhasil (NRW).

Terdahulu, beliau memaklumkan, sejak SADA mengambil alih konsesi Taliworks Langkawi pada 1 November 2020, sebanyak 42 point kebocoran baharu telah dibaiki secara ‘in house’ oleh SADA dengan kaedah underwater clamping.

“Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikan dan pemeriksaan kebocoran baharu dan lama adalah sebanyak RM3.1 juta. Buat masa ini, kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan kebocoran dijalankan setiap dua minggu bergantung kepada cuaca dan keadaan laut,” katanya.

Tambahnya, kadar kebocoran tertinggi dicatatkan paip air dasar laut tersebut sebelum ini adalah sebanyak 55 peratus atau 33 juta liter sehari (MLD) kehilangan air berbanding 60 MLD pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Baru di Perlis ke loji di Penarak, Langkawi.

“Hasil pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran yang telah dilakukan itu dapat menurunkan kadar kehilangan air kepada 27 peratus atau 16 MLD,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI