LIVERPOOL – Seluruh pasukan Liverpool tidak pernah mengharapkan bantuan daripada Crystal Palace untuk tewaskan Arsenal bagi segera menoktahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Walaupun dilihat hampir pasti untuk bergelar juara musim ini, tonggak pertahanan The Reds, Virgil van Dijk percaya The Gunners memiliki kemampuan untuk atasi Crystal Palace di laman sendiri.
Bintang dari Belanda itu lebih selesa beranggapan kejuaraan mereka mungkin akan terus tertangguh dan mahu ambil pendekatan untuk menentukan kemenangan dengan cara sendiri tanpa perlu mengharapkan ihsan daripada mana-mana pasukan.
Bagaimanapun Van Dijk turut mengakui semua anggota pasukan Liverpool akan berkumpul bersama-sama untuk menyaksikan perlawanan berkenaan seperti yang pernah dilakukan ketika bergelar juara pada musim 2019/20.
“Kami boleh berkumpul bersama, namun saya jangkakan Arsenal akan mampu untuk memenangi perlawanan di gelanggang mereka sendiri. Andai kata gagal, sudah pasti ia sesuatu yang bagus buat kami.
“Bagaimanapun, semua itu (Arsenal meraih kemenangan) adalah antara yang mungkin akan berlaku. Andai benar, sudah pasti selepas itu kami secara keseluruhannya akan berbincang sesama sendiri,” katanya.
The Reds kini hanya memerlukan tiga mata saja lagi untuk mengesahkan kejuaraan musim ini dan jika Arsenal menang, ia mungkin akan ditentukan pada aksi menentang Tottenham Hotspur di Anfield, Ahad ini. AGENSI