PUTRAJAYA- Sidang khas Parlimen pada 5 Mei depan akan memberi peluang kepada blok kerajaan dan pembangkang berkongsi pandangan mengenai tarif dikenakan Amerika Syarikat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pada sidang yang bermula pukul 11 pagi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan kenyataan disusuli perbahasan oleh pihak kerajaan dan pembangkang.
Beliau berkata, sesi khas itu kemudian akan digulung oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan.
“Surat rasmi kepada Ahli Parlimen berhubung sidang khas itu akan dihantar hari ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, Kabinet hari ini telah dimaklumkan mengenai lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan Ke-II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke Washington, Amerika Syarikat.
Tengku Zafrul dan Amir Hamzah ke Washington bagi mengadakan pertemuan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson, serta beberapa pegawai kerajaan lain yang berkaitan bagi membincangkan cadangan tarif berkenaan.
Ditanya apa hasil perbincangan daripada lawatan itu, Fahmi berkata, beliau tidak boleh menjangkakan perbincangan itu dan berharap ada sedikit maklumat yang boleh dikongsi apabila mereka pulang nanti. – KOSMO! ONLINE