KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah dan beberapa kenderaan terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Lorong Datuk Sulaiman 2, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.18 pagi sebelum menghantar jentera ke tempat kejadian.
Komander Operasi PBK II Azkhan Hamdan berkata, seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat TTDI serta Sri Hartamas digerakkan untuk menangani insiden tersebut.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati berlakunya runtuhan tembok dinding sekolah dipercayai berpunca dari runtuhan tanah.
“Kejadian tersebut melibatkan dua buah kenderaan serta sebahagian bangunan sekolah termasuk bilik darjah, bilik guru, tandas dan perpustakaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak bomba telah membuat ‘size-up’ bagi memastikan keadaan berada dalam selamat dan tiada mangsa yang terlibat.
“Tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE