PETALING JAYA – Bintang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi memahat sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024/25 sebentar tadi.
Kredibiliti Arif Aiman yang baru berusia 23 tahun sudah dijangka apabila meledak 12 gol dan 13 bantuan gol bagi membantu kelab Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super, Piala FA selain bakal mengharungi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Kejayaan Arif telah memecahkan rekod dengan menajdi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 sehingga 2012.
Selain itu, tonggak skuad kebangsaan ini apabila beliau turut mendominasi tiga lagi kategori lain iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024/25 dan juga Fans XI (Penyerang).
Ini juga adalah musim pertama Arif memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 sehingga 2023.
Sementara itu, penggempur JDT, Bergson da Silva turut mengekalkan Kasut Emas Liga Super selepas cemerlang mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 32 gol secara keseluruhan musim ini di pentas liga selain meraih hatrik anugerah Pemain Import Terbaik.
Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta kejutan untuk meraih trofi tersebut buat julung kalinya menewaskan dua calon lain iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Kinoshi Katsuhito (Selangor FC).
Secara keseluruhan, ABK 2024-2025 menyaksikan JDT berjaya menguasai lapan kategori utama dipertandingkan pada kali ini. – KOSMO! ONLINE