KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lagi individu termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri dipercayai terlibat dalam pelaburan skim ponzi atau MBI membabitkan sitaan serta pembekuan aset bernilai RM3.51 bilion.
Ia dilakukan menerusi siri kedua operasi Op Northern Star yang dilaksanakan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman, bermula 18 hingga 21 April lalu.
Ketua pasukan AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, semua yang ditahan merupakan warga tempatan berumur antara 32 hingga 67 tahun.
Jelasnya, dua individu yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri itu dipercayai terlibat secara langsung dengan sistem pelaburan MBI tersebut selain bertindak sebagai rakan kongsi serta proksi.
“Kelima-lima mereka ditahan, semalam di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air serta ditahan reman sehingga tujuh hari.
“Berdasarkan maklumat daripada operasi pertama, Pasukan AMLA berjaya melaksanakan pembekuan dan sitaan aset berjumlah RM3.51 bilion dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan tersebut.
“Ia termasuk tiga buah dusun durian berkeluasan 363 hektar benilai hampir RM224 juta iaitu di Raub, Pahang (344 hektar), Jawi, Pulau Pinang (5 hektar) dan Tasek, Kedah (14 hektar).
“Turut dibekukan, 299 akaun bank berjumlah hampir RM124 juta, 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, wang tunai (RM), telefon bimbit, komputer dan pelbagai dokumen penting,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini semalam.
Katanya, pasukan turut melaksanakan penyitaan ke atas tiga buah perniagaan di bawah Seksyen 52 (Akta 613).
“Perniagaan yang disita termasuk sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel dan syarikat pemaju, masing-masing di Pulau Pinang,” ujarnya.
Ujarnya, siasatan mendapati seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan ini sejak lapan tahun lalu manakala di negara ini hanya enam laporan polis sahaja diterima. – KOSMO! ONLINE