PETALING JAYA – Penantian suami isteri untuk menimang rezeki cahaya mata dimakbulkan Allah dengan kelahiran seorang bayi perempuan, iaitu selepas 19 tahun usia perkahwinan mereka.
Menerusi video dikongsikan Pakar Fertiliti & Ginekologi, Dr. Salleha Khalid pada TikTok, pasangan suami isteri itu dikenali sebagai Syed Samsul dan Nor Asniah dikurniakan bayi perempuan, Sharifah Amanda Raudhah yang lahir pada 16 Januari lalu.
“Pada tahun 2024, kami mulakan untuk buat rawatan dapatkan anak. Tahun 2024 merupakan tahun ke-19 kami mencuba berjuang dapatkan Amanda.
“Alhamdulillah 16 Januari lahirlah bayi kami Amanda. Tahun ni juga merupakan tahun paling manis, tahun ke-20 usia perkahwinan kami. Alhamdulillah diraikan bersama bayi kami,” katanya pada video tersebut.
Nor Asniah turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa yang masih berjuang menanti-nantikan kelahiran zuriat mereka.
“Kepada pejuang di luar sana, jangan pernah putus asa. Insya-Allah, Allah dah tentukan rezeki sesuatu untuk kita, Allah berikan sesuatu tepat pada masanya.
“Saya juga yakin setelah 20 tahun, ni masa tepat Allah beri kami cahaya mata ditunggu-tunggu. Jadi insya-Allah terus berusaha sabar dan paling penting sentiasa berdoa kepada Allah,” ujarnya.
Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan orang ramai selain ada yang memuji dan mendoakan keluarga tersebut.
“Akak ni bersalin umur 43. Jadi aku ada masa lagi untuk cuba. Terima kasih kak bagi semangat semula,” komen seorang pengguna TikTok.
“Lamanya 19 tahun menanti. Tahniah kerana suami setia dan akhirnya, tiba jua cahaya mata yang dinanti,” kata seorang individu.
“Alaa ayat dia. Walaupun tahun ke-20, inilah waktu yang paling tepat. Hanya Allah yang lebih mengetahui,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@drsallehakhalidWelcome baby Amanda yang telah sekian lama ditunggu. Tahniah kpd Puan Nor Asniah dan En Syed Shamsul di atas kehadiran little princess 👸. Mohon doakan kami di Sophea dan rakan2 TTC yg lain. Keep it up ttc 💪🏻